Friday, February 18, 2011

TOKOH MAULIDUR RASUL PERINGKAT PERAK(UTARA)

Anugerah Maulidur Rasul amat bermakna

Dari kiri, Ishak Bakar, Hamizah Mat Zain, Ibrahim Mohd. Tahir dan Shah Kirit Kakulal Govindji menunjukkan anugerah yang diterima sempena majlis sambutan Maulidur Rasul di Chemor, Ipoh, baru-baru ini.


IPOH 17 Feb. - Seorang pesara yang juga bekas Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Jejawi, Teluk Intan, Ibrahim Mohd. Tahir, 68, dipilih sebagai Tokoh Keluarga Mithali Perak tahun ini.
Anugerah disampaikan oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah pada majlis sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Perak di Masjid Jamek, Medan Klebang Restu, Chemor di sini baru-baru ini.
Turut berangkat pada majlis tersebut, Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah dan Raja Kecil Bongsu Perak, Raja Datuk Seri Ashman Shah.
Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria; Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Mohd. Yusop Husin.
Ibrahim membawa pulang wang tunai RM5,000 berserta plak dan sijil penghargaan.
"Anugerah ini merupakan hadiah paling bermakna dalam kehidupan saya dan ia menjadi contoh kepada masyarakat Islam," kata Ibrahim ketika ditemui selepas menerima anugerah itu.
Ibrahim dilahirkan di Kampung Sungai Balai, Bagan Datoh pada 21 November 1942.
Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Sungai Balai Darat, Sekolah Agama Rakyat Mimbiul-Ulum Sungai Nipah Darat, Sekolah Menengah Horley Methodist dan Sekolah Menengah Seri Perak di Teluk Intan.
Ibrahim kemudiannya melanjutkan pengajian di peringkat Diploma Pendidikan Guru Sekolah Rendah, Kementerian Pelajaran Malaysia dan bersara pada 21 November 1997.
Ibrahim banyak terlibat sebagai penulis Buku Kerja (Latihan) Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) Pendidikan Islam Tahun 2 dan 3 sejak 1997 hingga sekarang.
Bapa kepada enam anak itu merupakan Pengerusi Lembaga Koperasi Guru-Guru Pendidikan Islam Perak Bhd., Pengerusi Lembaga Koperasi Seri Intan Perak Bhd. dan Setiausaha Koperasi Kampung Selabak.
Sementara itu, Shah Kirit Kakulal Govindji, 45, dipilih sebagai penerima Tokoh Pendakwah. Bekas penganut agama Hindu itu memeluk Islam pada 14 Februari 1996.
"Saya memilih Islam kerana saya tertarik dengan kehidupan Islam yang berbeza dengan agama lain.
"Apabila saya memilih Islam ini menjadi amanah kepada saya untuk meneruskan dakwah secara lebih efisien," katanya.
Beliau menerima wang tunai RM3,000, plak dan sijil penghargaan.
Tokoh Saudara Kita Maal Hijrah Selangor pada 1432 Hijrah itu kini bertugas sebagai Ketua Pegawai Dakwah di Yayasan Islamic Information & Services Foundation di Kuala Lumpur.
Guru Besar Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR) Islahiah Taman Jati, 52, Hamizah Mat Zain, dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Guru Sekolah Agama Rakyat.
Bahari Ahmad, 64, dipilih menerima Anugerah Tokoh Pegawai Masjid manakala Ishak Bakar, 57, pula dipilih penerima Anugerah Pegawai Penguatkuasa Agama.
Hamizah, Bahari dan Ishak masing-masing menerima wang tunai RM3,000 plak dan sijil penghargaan.

No comments:

Post a Comment